Wednesday 23 February 2011

Fadilat membaca al-Quran

Daripada Abi Musa al-Asy’ari,beliau berkata,Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti al-utrujjah, rasanya enak baunya harum.Manakala perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah kurma meskipun rasanya sedap tetapi tiada baunya.”
(Riwayat al-Bukhari)
FADILAT MEMBACA AL-QURAN
          Al-Quran merupakan mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w. untuk djadikan panduan kepada seluruh manusia. Pengertian dan definisi al-Quran telah disepakati oleh para ulama’ sebagai “kalam Allah yang mengandungi mukjizat,diturunkan dan diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ditulis dalam mushaf, dipindahkan secara mutawatir dan pembacaannya dikira ibadah.”
          Al-Quran yang diwahyukan oleh Allah adalah bertujuan untuk memberikan hidayah dan pedoman kepada umat manusia supaya dapat hidup sejahtera di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian adalah tidak wajar bagi seseorang itu hanya membeli dan menyimpan sahaja di dalam almari tanpa dibaca dan diambil pedoman daripadanya.Ada pula hanya mengenal al-Quran pada bulan Ramadhan sahaja, akan tetapi apabila bulan Ramadhan berlalu, maka al-Quran sudah tidak dikenali lagi.
          Sesungguhnya al-Quran itu apabila dibacanya sahaja pun akan mendapat pahala dan ganjaran disisi Allah. Nabi s.a.w. telah menyatakan bahawa setiap huruf dalam al-Quran apabila dibaca akan digandakan pahala sebanyak sepuluh pahala.Nabi s.a.w. juga menyatakan bahawa bukanlah alif, lam, dan mim itu dikira sebagai satu huruf (perkataan), sebaliknya alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.Oleh itu, bagi mereka yang membaca alif, lam, mim sahaja pun akan mendapat sebanyak 30 pahala.
 Begitulah amat banyak ganjaran pahala yang disediakan bagi sesiapa yang membaca al-Quran. Justeru amat malang bagi mereka yang tidak mengambil peluang ini.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran sesungguhnya al-Quran akan memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat.”Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Mereka yang membaca dan mahir al-Quran, ia akan bersama para malaikat pencatat yang mulia. Mereka yang membaca al-Quran tetapi tidak fasih bacaannya dan susah baginya untuk membaca, maka untuknya dua pahala.”
  Tambahan daripada itu, bagi mereka yang menjadikan bacaan al-Quran sebagai amalan harian akan menghasilkan ketenangan kepada jiwa.Tiadalah sesuatu yang lebih membahagiakan daripada ketenangan yang dimiliki oleh jiwa. Apa gunanya harta yang melimpah dan wang yang berjuta-juta sekiranya hidup dalam keadaan sengsara dan gundah gelana.
Ketenangan dan kebahagian sesuatu yang tidak mampu dibeli,ketenangan dan kebahagiaan merupakan anugerah Allah kepada hamba-Nya. Anugerah ini hanya diberi kepada sesiapa yang mengingati Allah.
Ketenangan dan kebahagiaan tidak akan dianugerahkan Allah kepada manusia yang walau banyak mana sekalipun hartanya dan setinggi mana pangkatnya,tetapi tidak mengingati Allah.Firman Allah dalam surah al-Ra’d ayat 28 bermaksud: “Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati akan tenang.”.Antara cara paling berkesan untuk mengingati Allah ialah dengan membaca ayat-ayat suci  al-Quran.
Disamping itu,salah satu fadilat membaca al-Quran adalah sebagai “pengubat hati”. Setiap penyakit ada ubatnya.Namun, ramai yang memberikan perhatian kepada penyakit jasmani dan fizikal sahaja. Apabila salah satu anggota badannya sakit, maka hospital akan segera dicari agar dapat diubati penyakit yang dihadapi secepat mungkin. Akan tetapi, bagaimanakah cara untuk mengubati penyakit hati? Penyakit hati lebih berbahaya daripada penyakit fizikal kerana penyakit ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apabila penyakit hati menghinggapi seseorang,ia akan merebak dengan cepat sehingga boleh menghancurkan diri seseorang itu di dunia dan di akhirat kelak.
Akibat tidak memberikan perhatian kepada penyakit hati, maka begitu ramai dalam masyarakat islam yang mempunyai penyakit hati yang kronik seperti hasad dengki, dendam, ujub, sombong, takabbur dan sebagainya. Dengan itu,cara yang paling berkesan untuk merawat hati adalah dengan berdamping dengan ayat-ayat Allah melalui kitab suci al-Quran. Seorang tokoh sufi yang bernama Ibrahim al-Khawwas telah menyatakan bahawa ubat bagi hati itu antaranya ialah membaca al-Quran dengan penuh penghayatan dan tadabbur.
Sehubungan itu,marilah sama-sama kita membaca, meniliti serta memahami kandungan dan pengetian yang disampaikan di dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran?Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran?” (surah Muhammad 47:24).
“Ketika anda lupa membaca al-Quran,anda akan rasakan seperti ada perkara yang hilang dalam diri anda. Anda berasa tidak tenang , gelisah dan anda rasa ada perkara ganjil dalam diri anda.Ketika anda tidak dapat menikmati ‘kelazatan’ Quran, anda berasa aneh.Ini menunjukkan anda sudah bertindak balas dengan al-Quran”.